skip to Main Content

FIRST TIMER TUNAI UMRAH

11 Tips Mudah Ingat Untuk Persediaan Menunaikan Umrah.

1. Niat

Innamal a’malu binniat”, sesungguhnya setiap perbuatan itu bergantung kepada niat. Jadi, perkara pertama yang perlu kita lakukan adalah membetulkan niat. Jika dilihat, menunaikan umrah pada masa sekarang juga seakan-akan menjadi trend baharu untuk percutian. Memuatnaik gambar selfie berposing di Masjidil Haram dan kawasan sekitarnya juga dilihat sebagai normal dan menjadi perkara wajib yang dilakukan setiap kali ke sana.

Harus diingat, menunaikan umrah adalah satu ibadah. Bergambar itu tidak menjadi suatu kesalahan, tetapi dibimbangi gambar-gambar yang dikongsikan di laman media sosial itu nanti akan mengundang perasaan riak dalam diri kita sekaligus menjejaskan niat dan ibadah yang kita lakukan. Jadi, perbetulkan dan perbaharui niat kita ke Tanah Suci untuk beribadah dan bukannya riadah.

2. Ilmu

Ilmu merupakan persediaan menunaikan umrah terpenting yang perlu kita miliki sebelum menunaikan umrah. Ini kerana ibadah umrah mempunyai rukun-rukun yang perlu kita patuhi. Ilmu-ilmu berkaitan ibadah umrah ini boleh dipelajari secara teori dan praktikal sama ada melalui pembacaan buku, mengikuti kursus umrah atau pun belajar daripada internet. Sekiranya kita berkesempatan mengikuti kursus umrah, itu adalah lebih baik kerana kita dapat bertanyakan secara langsung kepada tenaga pengajar sekiranya terdapat sebarang kemusykilan berkaitan rukun ataupun selainnya.

3. Sempurna Rukun

Sebagai seorang Muslim, Rukun Islam merupakan sesuatu yang kita wajib patuhi. Oleh itu, sempurnakanlah kelima-lima rukun Islam tersebut sebelum menunaikan ibadah Umrah. Walaupun begitu, terdapat beberapa perselisihan berkenaan menunaikan umrah sebelum menyempurnakan rukun Islam yang kelima iaitu mengerjakan haji. Berdasarkan sebuah hadis daripada Zaid bin Thabit R.A. katanya: Rasulullah S.A.W.bersabda: “Mengerjakan haji dan umrah itu dua fardhu cuma sekali sahaja, dan bolehlah dikerjakan mana-mana satu (sama ada haji atau umrah) dahulu.”

4. Kewangan

Persedian menunaikan umrah yang terpenting merupakan kemampuan kewangan. Umrah sememangnya merupakan satu ibadah yang mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah. Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: “Orang yang mengerjakan haji dan umrah adalah tetamu Allah dan pengunjung-Nya. Jika mereka meminta kepada-Nya nescaya dia akan kabulkan, jika mereka meminta ampun nescaya akan diberi keampunan dan jika mereka meminta syafaat nescaya mereka akan diberi syafaat.” (Ibnu Majah). Oleh yang demikian, pastikan sumber kewangan yang digunakan untuk menunaikan umrah ataupun haji itu bersih daripada sumber-sumber yang diragui. Ini bagi mengelakkan ibadah yang dilakukan itu tidak diterima oleh Allah S.W.T.

5. Imunisasi dan Kesihatan

Mencegah lebih baik daripada mengubati. Begitu juga situasinya dengan bakal-bakal Jemaah yang akan menunaikan umrah dan haji. Suntikan imunisasi ini merupakan salah satu langkah pencegahan yang perlu dilakukan oleh bakal Jemaah sebelum berangkat ke Makkah. Ini kerana, suntikan vaksin dapat membantu bakal-bakal Jemaah mengelakkan diri mereka daripada dijangkiti wabak-wabak penyakit ketika berada di luar negara.

Pihak berkuasa Arab Saudi telah mewajibkan pengambilan Vaksin Meningococcal Quadrivalent (ACYW-135) kepada mana-mana Jemaah yang belum pernah mengambil suntikan ini sebelum berlepas ke Tanah Suci. Ini bagi mengelakkan diri mereka daripada terdedah kepada penyakit berjangkit dan boleh disebarkan kepada orang lain. Bagi bakal jemaah yang belum pernah mengambil suntikan ini, kita diwajibkan mengambil suntikan ini sekurang-kurangnya 2 minggu sebelum berlepas ke Tanah Suci.

6. Pasport dan Visa

Untuk mana-mana urusan penerbangan ke luar negara, kita diwajibkan mempunyai passport sebagai pengenalan diri bagi mengelakkan kita daripada ditahan pihak imigresen. Bagi bakal Jemaah yang belum mempunyai passport, kita bolehlah membuat ataupun memperbaharui passport sedia ada di mana-mana cawangan Jabatan Imigresen di seluruh Malaysia. Bagi permohonan passport kali pertama, kita akan dikenakan bayaran sebanyak RM200 untuk tempoh 5 tahun.

7. Solat

Sesungguhnya solat itu tiang agama. Jadi, sebelum menjejakkan kaki ke Tanah Suci apa kata perbaiki kualiti solat kita terutamanya dari segi mutu bacaan dengan tajwid yang betul serta fahami maksud ayat yang dibacakan supaya solat menjadi lebih khusyuk. Selain itu, mempraktikkan solat Jemaah serta solat-solat sunat juga merupakan antara perkara yang perlu kita biasakan sebelum menunaikan umrah. Ini kerana bukan selalu kita akan mendapat peluang untuk beribadah di Tanah Suci. Jadi, gunakan peluang yang ada ini dengan memperbanyakkan amalan-amalan sunat ketika berada di sana.

8. Taubat Nasuha

Menunaikan umrah ini umpama mempersembahkan diri kita kepada Allah. Jadi, sudah semestinya kita ingin memberikan yang terbaik ketika menghadapnya apatah lagi kehadiran kita ke sana adalah untuk beribadah. Jadi, sebaiknya persedian menunaikan umrah kita mulakankan dengan solat sunat taubat supaya dapat membersihkan diri daripada segala dosa yang pernah dilakukan.

9. Sabar / Kawal perasaan

Sabar itu separuh daripada iman. Tetapi untuk mengawal kesabaran itu bukanlah sesuatu perkara yang mudah. Apabila berada di Tanah Suci, kita akan diuji dengan bermacam-macam perkara terutamanya ragam manusia yang pelbagai dari seluruh dunia. Jadi, didik diri kita untuk banyakkan bersabar dan beristighfar dengan apa jua cabaran yang bakal dilalui ketika menunaikan umrah nanti. Mulakan dari sekarang untuk mengawal perasaan dan kemarahan supaya ia tidak memberi kesan kepada ibadah yang bakal dijalankan.

10. Bersenam

Selain dapat meningkatkan stamina badan, bersenam juga dapat membantu kita untuk kekal cergas ketika menunaikan ibadah umrah nanti. Aktiviti seperti berjoging terutamanya dapat membantu kita membiasakan diri untuk berjalan kaki ketika melaksanakan ibadah umrah terutamanya sewaktu tawaf dan sa’i. Oleh itu, luangkan sedikit masa untuk bersukan supaya kita tidak menghadapi kesukaran yang melibatkan banyak pergerakan ketika berada di sana nanti.

11. Doa dan Tawakkal

Sesungguhnya kita hanya mampu merancang, tetapi Allah jualah yang menentukan segalanya. Begitu juga dengan persediaan menunaikan umrah yang kita lakukan sebelum menjejakkan kaki ke Tanah Suci nanti. Oleh itu, banyakkan berdoa dan bertawakkallah kepada Allah agar dipermudahkan segala urusan ketika menunaikan umrah nanti. Semoga ibadah yang dilakukan nanti diterima oleh Allah s.w.t dan mengikut setiap apa yang di ajarkan Rasulullah s.a.w

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top